Sunday, November 16, 2014

LAGI SALAH GUNA PENGERTIAN JIHAD, SEKSUAL DI SYRIA

Pihak polis tidak ada sebarang maklumat berhubung aktiviti penawaran Jihad Al-Nikah atau jihad seksual oleh wanita Malaysia yang dilaporkan menyertai pasukan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Namun, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas, Bahagian Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan bahawa memang terdapat wanita Malaysia di Syria.

“Wanita ini mengikut suami masing-masing yang terlibat di dalam aktiviti bersenjata.

“Tetapi kami tiada sebarang maklumat berhubung aktiviti Jihad Al-Nikah atau jihad seksual oleh mereka,” katanya kepada Astro AWANI.

Pada Rabu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa pihak berkuasa mengesahkan tiga wanita Malaysia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan Isis dan menawarkan jihad seksual.

“Wanita ini dipercayai menawarkan diri mereka untuk melakukan hubungan intim kepada pejuang Isis yang cuba memperkenalkan peraturan Islam di Timur Tengah.

“Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin berkembang apabila sesetengah wanita Islam di sini bersimpati dengan kepayahan Isis,” kata seorang pegawai risikan kepada The Malaysian Insider.

Pegawai itu berkata selain wanita Malaysia, wanita Islam lain juga terlibat di dalam aktivti itu.

Pada 20 Ogos, seorang rakyat Malaysia yang berjuang di Syria dilaporkan terkorban akibat dibedil oleh kereta kebal tentera Bashar al-Assad sementara dua lagi dikatakan cedera dalam kejadian terbaharu di wilayah Hama di negara itu.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Mat Soh atau nama panggilannya Abu Turab, manakala rakannya yang tercedera ialah Mohd Rafi Udin, 48, dan Zainuri Kamarudin, 47.

Berita kematian Mat Soh dinyatakan di dalam Facebook milik seorang individu dikenali sebagai Ustaz Lotfi dari Baling, Kedah yang turut berjuang di Syria bersama pasukan pemberontak di sana sejak awal tahun ini.

Ekoran itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kementeriannya juga pada masa ini sedang mengenal pasti dakwaan tersebut dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, turut mengutuk keras tindakan militan negara Islam di Syria dan Iraq dan meluahkan rasa  sedih dengan jenayah yang dilakukan atas nama Islam.


0 comments:

Post a Comment